Kala ini, sendalu pagi mengelus tubuh saat aku termenung di birai jendela. Dan fikiran ini begitu ligat berputar di saat orang lain entah ke mana. Hanya hati, jiwa dan buncah yang setia mengiringi sedangkan tenang, damai, berkali-kali ku hubungi, kecewa membuatkan diri jemu dan bosan. Dimanakah manusia? Yang dulunya lebat berkata-kata? Aku ingin melihat mereka bergerak dan melangkah seiring lafaz yang dilafaz. Aku ingin melihat hasil mereka, kerana fitrahku memang begitu. Aku bukan Tuhan, yang amat arif menilai.
Pagi begitu mengindahkan, pesona dan sangat kudus santak mengisur ke dalam eperdemis. Tiada suarau ricauan yang mengetuk timpanum, dan tiada babaran mata yang pedih dan menyakitkan. Yang ada cuma insan-insan yang telah mula menyapu rezeki dan menjerang rahmat. Yang ada juga betah insan-insan yang sudah tersedar dari mati yang sekejap itu. langit persih begitu gebu dan penuh dengan ambalan debu. Sejuk dan sangat hening.
Mulakan hari kita dengan sekanvas kain suci, warnakan hari-hari kita dengan pelbagai warna, corakkan dan akhir sekali, bentangkan kembali hasil kesenian itu kepada tuan penilai-muhasabah. Teguhkan diri kita dengan sekeping puisi, kata-kata dan yang paling penting ialah, cara dan pelaksana. Jika kita seorang yang suka membuat pembaharuan, bahaukan yang lama dan yang perlu, bukan baharukan yang sudah indah dibabar.
Sesungguhnya, jika tidak dibayar kembali noda-noda hitam yang berlaku saban hari hingga mencarikkan corak yang telah cuba ku warnai, alangkah fananya kehidupan ini untuk diteruskan. Cita-cita, harapan, matlamat dan apa yang jelas digenggaman masih belum dilunaaskan sepenuhnya, mengapa lantas mudah kita menerima yang seterusnya. Jika hati besar itu berkenan, hati kecil pasti akan kata ‘tidak berkenan’. Justeru, dengar apa kata hati kecil, yang sememangnya benar.
Aku tertegun, bila melihat mereka berbicara, lagak YB yang memegang kawasan, gah kerana kawasannya dapat dipengaruhi. Dan sejenak itu, aku berdoa agar akal kita mengiringi percakapan, bukan ‘main lepas’, kelak kita sendiri yang menanggung penyesalannya. Bekas hati yang kosong itu, isikan dengan air muhasabah, agar air itu masih berbaki bila diminum nanti. Jalur jiwa yang hampir terngadah, potretkan dengan galau air mata, kerana air mata itu ubat jiwa. Penyembuh duka, dan pemandu hati yang sangat setia.
Ayuh, jangan dikau mudah melafaz mantera kasih yang zulmat dan fana, jika tidak namamu bakal calar dan rosak di balik cinta. Peramkan ia hingga terbenam menusuk ke kerak atma, nanti jika ia masih berbaki, korek kembali, jika tidak, cari semula. Itu hakikat kehidupan yang selama ini masih belum dikenal erti, yang sudah pergi biarkan, yang akan datang, nantikan. Buka hati dan perasaan sekuak-kuaknya, buka minda dan jiwa seluas-luasnya. Jangan terasa luas jikalau masih tidak mengenal erti ‘luas’ yang sebenar.
Aku harapkan dikau tahu perihal kita, tingkah laku dan takhta yang kau miliki, amat tidak sama dengan kerusi hidup yang sedang ku duduki. Justeru, segala resap rasa yang hadir menemani jiwa amatlah ku titipkan sebagai bekalan kehidupan bersamamu. Persamaan kita mungkin satu dua, bukan semua.
Wahai langkisau, debur dan pukul insan ini, andai hatinya masih berbelah bahagi. Jangan biarkan dia rosak dan tidak berguna, sedarkan dia dari lena. Serukan nama illahi, sebagai pemateri janji yang pernah kau hajati dulu. Ingat, apa yang dibicara, bakal menjadi penguji yang sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan mudah kau tutur bicara lantang, kelak jangan dikau yang terlantang.
Aku utuskan bulan sebagai manhaj mataku melihat, dan bersama sendalu, aku bingkiskan senyuman untuk diutuskan kepadamu. Aku pinta, senyuman itu diutus secepatnya, agar ianya masih bermakna. Tapi sendalu selalu menipu, dan hingga saat ini, dia tetap menipu. Aku ragakan rindu bersama awan yang bergemerlapan, mungkin malam kesunyianmu akan ditemani rinduku yang setia itu. oh sahabat, aku akui, aku amat merinduimu.
Kala ini, aku menumpahkan rasa dengan frasa aku, kerana aku bercakap dengan aku. Dan Tuhan! Hisablah bicaraku ini sebagai bingkisan doa kudus dan tulus bersaudara. Aku pinta. Semoga ianya bermakna, amat bermakna. Dikau tahu bukan, kita ini begitu banyak memberi kasihan, dan akhirnya kita bakal dipijak. Aduh, janganlah lagi, kita selalu menjadi boneka, boneka yang tidak bertakhta.
Dan sesungguhnya, ‘hidup ialah sebuah persinggahan’ itu semakin rakus ertinya. Makin hidup, makin sibuk dan aku takut makin menyibuk kita dengan hidup ini. Bahkan, semakin dikejar kehormat itu, semakin hilang bayang peribadi, dan semakin lupa siapa diri. Ah, mengapa lagi aku asyik menyoal begini? Mereka kan punya hak dan pilihan.
Lanjutan peristiwa semalam sebagai bekalan, tetapi bekalan itu sudah tidak dipegangi lagi. Itu sahaja konklusi kehidupan yang sebenar. Dan aku takut, kita lari dari kebenaran, kita ragu pula dengan jalan hakikat. Aku takut, dan amat takut.